Friday, 14 June 2013

Rossa Disangka Penjual Tahu, Pernah Alami Kejutan Budaya


Diva Indonesia, Rossa mendedahkan sewaktu awal-awal beliau menjejakkan kaki ke Jakarta ramai menyangka yang dia gadis penjual tahu dari Sumedang. Malah akui pelantun Atas Nama Cinta ini, beliau pernah mengalami kejutan budaya sewaktu mula-mula menjalani hidup di ibu kota Indonesia itu.
“Saya ini pendatang di Jakarta. Sewaktu mula-mula saya menjejak kaki dan mulakan kehidupan di situ, ramai orang menyangka saya ini penjual tahu, kerana di kampung saya di Sumedang memang terkenal dengan makanan tahu. Saya datang sebagai mahasiswi dan kemudian Jakarta membukakan saya satu jalan lain. Memberi saya peluang untuk meneroka dan bertemu dengan orang-orang yang hebat di sana.
“Semasa mula-mula di Jakarta, saya juga mengalami kejutan budaya. Kalau di Sumedang, orang-orang di tempat saya rata-rata lemah lembut dan pertuturan mereka cukup lembut. Tidak seperti di kota Jakarta yang kebanyakan orangnya agak kasar dari segi pertuturan. Tapi bagi mereka di situ, biasa saja. Jadi mulanya saya tidak biasa dengan pergaulan yang cara cakapnya terjerit-jerit dan lantang. Namun lama-lama saya boleh membiasakan diri”, cerita duta Jakarta ini mengenai pengalamannya sebelum bergelar seorang anak seni yang disegani hingga hari ini.
Pemilik nama sebenar Sri Rossa Roslaina Handiyani, 34, ini ditemui pada majlis sidang media Kempen Enjoy Jakarta 2013 bertempat di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur, semalam.
Sempena kempen tersebut Rossa yang merupakan duta buat tahun ketiga sejak tahun 2011 telah mengadakan showcase istimewa di Taman Tasik Perdana malam tadi. Konsert berkonsep kebudayaan dan kesenian Indonesia itu turut dihangatkan dengan penampilan kumpulan popular, Ungu.
Tak Lagi Pakai Skirt
Dalam pada itu diajak berbual mengenai perkembangan diri, penyanyi bertubuh genit ini memberitahu dia baru saja selesai dengan program X-Factor yang mana program realiti itu menobatkan protegenya, Fatin Shidqia sebagai juara. Bagaimanapun beliau belum ada apa-apa perancangan projek bersama gadis yang cukup berbakar besar itu.
Selain itu Rossa juga sedang mengumpulkan lagu untuk album terbarunya yang dijangka akan direlease selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Mengulas mengenai penampilannya yang sebelum ini berhijab selama dua bulan selepas kembali menunaikan haji, ujar Rossa buat masa ini dia akan mengekalkan imejnya yang sekarang. Bukan tidak mahu meneruskan niat murninya itu namun ada beberapa sebab yang belum membolehkan dia berpenampilan sebagai seorang muslimah sejati.
Namun Rossa berkata jauh disudut hatinya memang beliau ingin kekal bertudung tetapi perubahan tersebut tidak akan dilakukan secara drastik. Pelahan-lahan dia cuba memperbaiki diri dan menjaga penampilannya. Pun begitu selepas kembali dengan imej lama, Rossa tidak terlepas daripada berdepan dengan kritikan segelintir pihak.
“Ada beberapa sebab dan komitmen yang perlu saya pikul juga keutamaan dalam urusan kerjaya saya buat masa ini. Jadi, tidak sesuai kalau saya berhijab. Pada saya, kalau hendak berhijab, saya harus betul-betul persiapkan diri. Ia bukan saja sekadar berhijab. Mudah-mudahan Tuhan berikan saya hidayah satu hari nanti, InsyaAllah.
“Sebenarnya selepas saya kembali tidak bertudung, ada juga saya terima kritikan da komen negatif dari segelintir pihak. Tapi bagi saya, saya anggap pihak tersebut sayang pada saya. Pada saya, biarlah hal ini antara saya dengan Tuhan.
Cuma sekarang saya tampil dengan imej dan penampilan yang lebih sopan daripada dulu. Sudah tidak pakai skirt, kalau pakai pun, hanya di rumah”, selorohnya.

No comments:

Post a Comment